Monday, April 26, 2010

Sayang iman putus hubungan

artikel ni sy celup daripada metro online....  apa2 pun... pk2 la wahai kaum hawa....

SAYA pemuda berumur 23 tahun dan menuntut di kolej perubatan. Saya jenis yang tenang dan mudah
bergaul dengan orang sekeliling. Masalah saya ialah, saya dalam dilema dan rasa bersalah untuk menegakkan hukum Allah.
Saya kenal A hampir tiga tahun lamanya. Namun sepanjang hubungan, kami asyik bergaduh. A berusia 21 tahun dan menuntut di kolej lain.

Saya ada pengetahuan agama tapi tiada kekuatan untuk mengamalkannya. Selepas mengenali A dan beberapa kali bergaduh dengannya, saya terfikir adakah Allah tidak membenarkan kami untuk bersama.

Kalau masih bersama A, saya seolah-olah membuka pintu maksiat. Mudah sangat untuk saya melakukan perkara haram. Saya bertekad untuk putuskan hubungan dengan A dan hidup solo kerana saya lebih sayangkan iman daripada A.

Saya beritahu A hal ini, tapi memang payah untuk dia terima. Memang betullah sekarang ini dunia sudah akhir zaman kerana fitnah wanita memang kuat. Pada masa sama A terlalu sayangkan saya dan tidak mahu melepaskan saya begitu saja.

Saya dan A belum terlanjur, namun bibit-bibit ke arah itu sentiasa terbuka luas kalau saya mahu. Setakat ini hanya iman menghalang saya daripada berbuat demikian. Saya juga tidak mahu rosakkan A.

Perbuatan ‘ringan-ringan’ sudah berapa kali kami lakukan. Keadaan itu berterusan hinggalah saya kemalangan dan syukur Allah panjangkan umur saya.

Saya bertaubat, namun disebabkan A tidak mahu melepaskan saya, saya serba salah antara menjaga iman dan menjaga dia.

Baru-baru ini saya dapat kekuatan untuk tekad melepaskan A dan teruskan hidup solo. Keadaan itu membuatkan saya lebih tenang dan tenteram. Namun jauh di sudut hati, saya masih rasa bersalah pada A.

Bagaimanapun, tidak mungkin saya kembali menyintai A sebab hati saya tidak bersedia lagi untuk bercinta.

Dang Setia, adakah saya patut rasa bersalah? Saya sayangkan iman saya dan iman dia. Saya tak nak tarik dia ke neraka. Apa patut saya buat, Dang Setia?
WAN
Mungkin ada yang menganggap masalah saudara tidak serius dan sekadar biasa saja. Lagipun, soal ‘ringan-ringan’ di kalangan pasangan bercinta kerap juga Dang Setia kupas di ruangan ini.
Bagaimanapun, Dang Setia ada alasan tersendiri kerana menjadikan warkah saudara sebagai bahan utama diulas minggu ini. Bagi Dang Setia, isu ‘ringan-ringan’ adalah perkara besar.

Daripada ringan-ringanlah berlakunya zina, kehamilan luar nikah dan seterusnya melarat kepada masalah pembuangan bayi yang heboh diperkatakan semula kebelakangan ini.

Ya, semua ini berlaku kerana ringan-ringan atau mukadimah (permulaan) zina. Dang Setia yakin, jika semua pasangan bercinta, baik tua atau muda, memelihara diri dan tidak melakukan ringan-ringan, insya-Allah mereka tidak akan hanyut atau terlanjur.

Dang Setia juga percaya amalan ringan-ringan banyak dilakukan oleh pasangan bercinta. Itu lagi sebab mengapa Dang Setia memilih topik ini untuk diperkatakan kerana mahu mereka menyedari betapa perkara ini sebenarnya masalah berat dan serius.

Jangan terpengaruh dengan rakan dan budaya Barat apabila bercinta. Ingat, soal cinta dan seksual sebenarnya dua perkara berbeza. Jika pasangan kita sibuk nak ringan-ringan dan mengajak kita melakukan hubungan seks, itu bukan cinta namanya, sebaliknya itu semata-mata nak puaskan nafsu dan ia berdosa besar.

Selain itu, Dang Setia berasa terpanggil untuk menjawab permasalahan saudara apabila saudara menyuarakan “rasa dilema dan bersalah untuk menegakkan hukum Allah” serta “serba salah antara menjaga iman dan menjaga A.” Ini satu lagi kenyataan yang Dang Setia anggap kesalahan berat kerana tidak seharusnya kita membuat pilihan antara menegakkan hukum Allah dan mempertahankan keimanan kita dengan menjaga hati atau mengikut kehendak kekasih.

Sewajibnya kepatuhan dan cinta kita yang utama adalah kepada Allah dan bukan kepada manusia, hatta ibu bapa, anggota keluarga, isteri serta anak kita.

Maksudnya, jika mereka melakukan sesuatu atau mendorong kita melakukan perkara yang bertentangan dengan hukum Allah, mereka wajib kita tentang.

Yang pasti, dalam soal menunaikan amar makruf, nahi mungkar, kita tidak boleh berkompromi. Di dalam al-Quran sudah tertulis, sesungguhnya hanya ada dua jalan (kehidupan) untuk manusia, satu jalan Allah dan satu jalan syaitan serta iblis. Maksudnya, tiada jalan tengah.

Oleh itu, jika kekasih tidak mahu mengikut saudara ke jalan Allah, bermakna dia mengajak saudara menuju jalan syaitan. Dengan itu saudara wajib meninggalkannya dan saudara juga tidak perlu rasa bersalah.

Dang Setia puji keinsafan saudara untuk menjaga atau mematuhi hukum Allah dan saudara melakukan tindakan betul apabila memutuskan hubungan dengan A semata-mata untuk menutup pintu daripada terjebak kepada perlakuan maksiat.

Yang saudara perlukan sekarang ialah kekuatan iman untuk memastikan saudara teguh serta konsisten untuk melaksanakan amalan baik ini. Saudara perlu sedar, nak buat baik bukan mudah dan cabaran yang mendatang tidak pernah putus.

Satu lagi perkara penting, untuk menjauhi maksiat, kita tidak boleh mengharapkan perubahan itu bermula daripada orang lain, sebaliknya kita sendiri harus memulakannya. Percayalah, jika kita berlengah-lengah dan tidak melakukan tindakan drastik, kita akan kecundang dengan godaan syaitan.

Pada ketika itu, bertepuk tanganlah syaitan dan iblis kerana apa yang mereka mahukan selama ini tercapai. Di pihak kita pula, hanya kekesalan dirasakan, sedangkan menangis air mata darah pun tidak berguna.

No comments:

Post a Comment